Kota Kinabalu: Pasti ramai menganggap berjalan pulang lebih dua kilometer dari sekolah setiap hari adalah bebanan, namun Nor Kamaliana Zul Iskanda, 20, menjadikannya ‘peluang’ menelaah pelajaran.
Bagi pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya itu, perjalanan mengambil masa 45 minit pulang ke rumah di Kampung Pangkalan, Kunak, tidak dirasai kerana ‘diisi’ dengan sesuatu yang berguna.
Nor Kamaliana yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 berkata, ia mengajarnya lebih berdisiplin dan menghargai pengorbanan ibu bapa yang bukan daripada golongan berada.
Anak kepada pemandu lori itu berkata, walaupun bayaran kereta sewa hanya RM1 sehala, namun dia memilih berjalan kaki pulang ke rumah.
“Setiap hari saya membaca nota kecil dibuat khas untuk mempertingkatkan pengetahuan selain menghilangkan rasa bosan ketika perjalanan pulang dari sekolah.
“Saya bersyukur kerana mencapai keputusan cemerlang. Ini saja cara membalas budi ibu bapa dan guru yang sentiasa menyokong saya,” katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan STPM Peringkat Negeri Sabah di SMK Putatan di sini, semalam.
Nor Kamaliana yang bercita-cita menjadi guru berkata, belajar di luar bandar bukan lagi alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya kejayaan bergantung kepada diri sendiri.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Kassim Ibrahim, berkata 98.55 peratus daripada 6,610 calon di Sabah mendapat keputusan lulus penuh bagi STPM tahun 2017.
Katanya, pencapaian PNGK bagi Sabah tahun 2017 juga menunjukkan peningkatan kepada 2.66 peratus daripada 2.58 peratus tahun sebelumnya.
Nor Kamaliana bersama ibunya, Anurah Musa pada majlis Pengumuman Keputusan STPM Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
sumber : pressreader

No comments:
Post a Comment