KUNAK, 8 Mac (Bernama) -- Pengalaman indah berada di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya selepas dinobatkan antara 10 penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat kebangsaan Selasa lepas, akan dijadikan pendorong bagi Jannatul Najiha Nazib untuk terus berjaya di masa depan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak Jaya itu memperoleh 5A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Ekonomi, Bahasa Melayu, Sejarah dan Geografi dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Bercita-cita menjadi pakar ekonomi dan berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Sains Malaysia (USM), Jannatul Najiha mengakui kejayaan yang diraih itu tidak datang bergolek tetapi diusahakan dengan konsisten dan belajar kurang-kurangnya sejam sehari.
"Namun seminggu sebelum ujian atau peperiksaan, saya akan menambahkan waktu belajar dan membantu mengajar rakan-rakan yang tidak faham iaitu bagus untuk tingkatkan lagi daya ingatan saya," katanya ketika ditemui Bernama semasa warga sekolah SMK Kunak Jaya menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Tawau di sini.
Anak kedua daripada lima beradik itu bersyukur kerana ibu bapanya sangat memahami anak-anak dan memberi sepenuh kebebasan kepada mereka untuk mengulang kaji pelajaran.
Selain Jannatul Najiha, empat lagi rakannya di sekolah sama turut tersenarai sebagai Pelajar Terbaik STPM 2017 peringkat negeri Sabah dengan memperoleh 4A iaitu Fazlina Abdul Dahi, Misnah Abdu, Muhd Izlan Murphy dan Norkamaliana Zul Iskanda.
Sementara itu, Pengetua SMK Kunak Jaya, Malek Mohd Shafdar Gulam Hassan berbangga dengan pencapaian para pelajarnya apabila 39 calon STPM 2017 di SMK Kunak Jaya merekodkan pencapaian 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.28.
Malek berharap GPS itu dapat diperbaiki lagi pada masa depan dan turut menyasarkan enam pelajar STPM sekolahnya tahun ini mendapat PNGK 4.0.
sumber : bernama
No comments:
Post a Comment